Rabu, 14 Oktober 2015

7 tips for final exam




1. Semak jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.
Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.
2. Kunci peperiksaan
Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.
Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.
3. Tentukan keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.
Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.
4. Banyak mengingat dan membuat kaitan
Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.
5. Merancang persiapan peperiksaan
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.
Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.
Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.
Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.
Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.
b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.
Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel
Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.
c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.
Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.
6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan
Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.
7. Berdoa dan bertawakal
Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.
Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.

Rabu, 7 Oktober 2015

JEREBU

                  


                        APA ITU JEREBU?
Jerebu ialah satu fenomena di mana habuk, asap, dan zarah-zarah kering yang lain berkumpul di udara, menyebabkan penglihatan yang kurang jelas dan jarak penglihatan yang berkurangan. Ini berlaku apabila keadaan cuaca menghalang bahan pencemaran ini daripada disebarkan secara meluas. Apa yang berlaku ketika jerebu ialah bahan pencemaran ini bertumpu kepada sesuatu kawasan dan menyelimutkannya dan ini secara umumnya mengakibatkan pemandangan yang kurang jelas dan juga boleh menjadi satu ancaman kesihatan terutamanya kesihatan sistem pernafasan. 

Jerebu boleh berwarna coklat atau biru dan bergantung kepada saiz zarah, jerebu tidak selalunya boleh dilihat dengan mata kasar.



Jerebu menyelubungi bandar Kuala Lumpur.
Photo taken August 10, 2005 in Kuala Lumpur (Malaysia) with a Sony DSC-P43. 


 Apa yang menyebabkan Jerebu?
Jerebu boleh disebabkan oleh tindakan manusia serta sebab-sebab semula jadi. Tindakan ini biasanya menyebabkan habuk, asap dan lain-lain zarah kering dilepaskan ke udara. 
Contoh tindakan-tindakan ini ialah: 

Jerebu Buatan manusia 
- Pembakaran terbuka
 - Pencemaran Kenderaan 
- Pencemaran Perindustrian 
- Pertanian (cth. pembersihan tanah) 

Jerebu punca Asli
 - Kebakaran Hutan 
- Habuk yang dibawa angin.

 Terdapat beberapa faktor-faktor lain yang diperlukan untuk mewujudkan keadaan yang sesuai untuk berlakunya jerebu. Ini termasuk cuaca kering yang berpanjangan, ketiadaan atau sedikit angin, dan bekalan bahan pencemar di udara. Dalam keadaan sebegini, -zarah-zarah di udara terperangkap, tertumpu dan tidak disebarkan atau dileraikan dan ini menyebabkan jerebu. Di Semenanjung Malaysia, jerebu biasanya berlaku pada bulan-bulan Januari hingga Februari dan Jun hingga Ogos kerana cuaca pada masa-masa itu secara umumnya kering dan tidak berangin. Kebakaran hutan samada buatan manusia atau semulajadi yang berlaku pada masa ini sering menyebabkan jerebu






 Gambar satelit menunjukkan asap daripada kebakaran terbuka di Indonesia bergerak ke Singapura dan Malaysia, mengakibatkan jerebu yang teruk



Masalah Jerebu
Jerebu adalah satu masalah yang meruncing di Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara terutamanya dalam tempoh dua dekad yang lalu disebabkan pembersihan hutan di Indonesia dengan kaedah pembakaran terbuka. Ini adalah sesuatu masalah yang masih berterusan dan sedang ditangani oleh negara-negara ASEAN.

Jerebu yang disebabkan oleh pembakaran hutan secara luas boleh menjadi teruk dan berpanjangan. Pendedahan jangka panjang kepada jerebu sebegini boleh memudaratkan kesihatan. Semasa jerebu, sering terdapat peningkatan dalam masalah kesihatan berkaitan mata dan tekak berserta masalah pernafasan, khususnya di kalangan mereka yang lebih sensitif atau sakit. Orang ramai digesa untuk memantau kualiti udara di kawasan mereka dan mengikut nasihat pihak berkuasa kesihatan tempatan. Adalah menjadi kebiasaan untuk berada di dalam rumah dengan pintu dan tingkap tertutup dan memakai topeng yang patut ketika jerebu teruk




Indeks Pencemaran Udara Indeks Pencemaran Udara (IPU) adalah satu cara untuk menggambarkan kualiti udara di Malaysia. Indeks IPU dikira dari beberapa set data berkenaan pencemaran udara termasuk mengukur jumlah karbon monoksida, ozon, nitrogen dioksida dan sulfur dioksida di dalam atmosfera. Data IPU terkini untuk Malaysia boleh diperolehi daripada laman web ini: http://apims.doe.gov.my/apims/.
Pengelasan tahap kualiti udara mengikut IPU adalah seperti berikut: 

Nilai IPU              Status
 0 - 50                   Baik 
51 - 100            Sederhana
 101 - 200        Tidak Sihat 
201 - 300     Sangat Tidak Sihat 
301 - 500         Berbahaya 






Jerebu boleh menyebabkan masalah kesihatan terutamanya kepada:
-Kanak-kanak.
-Orang tua
-Pesakit lelah
-penyakit pernafasan lain 
-Perokok 

Antara gejala akibat pendedahan kepada jerebu ialah: 

  • Iritasi kerongkong dan batuk-batuk 
  • Kesukaran bernafas atau hidung tersumbat
  •  Iritasi di mata serta mata yang merah 
  • Kulit terasa gatal   
Antara perkara yang boleh dilakukan untuk mengelak masalah-masalah di atas ialah: 
  • Jangan keluar rumah serta tutup semua pintu dan tingkap
  •  Pakai topeng muka yang mempunyai penuras jika terpaksa keluar
  •  Kurangkan pengunaan kenderaan terutama motosikal 
  • Sentiasa basuh bahagian yang terdedah; 
  • mandi Selalu minum air
  •  Sediakan ubat jika anda mempunyai penyakit pernafasan





Bagaimana Jerebu Boleh Dileraikan Jerebu di atmosfera boleh dileraikan melalui beberapa proses. Antara cara-caranya adalah seperti berikut:

- Zarah jerebu yang lebih besar akan jatuh ke tanah atau ke atas mana-mana permukaan disebabkan daya tarikan graviti.

 - Zarah jerebu halus membantu pembentukan titisan air yang akhirnya akan jatuh ke tanah sebagai hujan.

 - Hujan juga mengumpul dan membawa bersamanya zarah jerebu dari atmosfera ke tanah. 

- Ribut dan angin boleh membawa zarah jerebu tinggi ke atmosfera di mana ia akan tersebar luas. 




CEGAHLAH PENYAKIT AKIBAT JEREBU. IKUTI NASIHAT BERIKUT:


  • - Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk. 
  • Mereka yang di dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan. 
  • Penutup hidung dan mulut ( mask) hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan juga mereka yang dikenalpasti sebagai kumpulan berisiko tinggi. 
  • Sejauh yang boleh, orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah. 
  • Kurangkan aktiviti-aktiviti di luar rumah seperti sukan. 
  • Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih. 
  • Gunakan kemudahan hawa dingin sekiranya menaiki  kenderaan anda.
  •  Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak ( sekurang-kurangnya 8 gelas sehari) 
  • Sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya ,mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan keluar  dari  kawasan tersebut.